Bagi saya, AFS ialah jambatan penghubung kemanusiaan sama ada dalam aspek budaya, sejarah, persahabatan dan keamanan. Tanpa meletakkan garis sempadan antara agama, kepercayaan dan geopolitik AFS berjaya menghubungkan nilai-nilai setia kawan yang sejagat.
Atas hakikat dan kepercayaan bahawa manusia mempunyai persamaan dalam hak untuk hidup, bersaudara dan saling berkenal-kenalan, AFS berjaya meletakkan dirinya sebagai sebuah organisasi yang cukup cakna terhadap peradaban dan nilai-nilai kasih sayang. Tanpa diikat oleh apa-apa perhubungan darah, genetik dan bangsa seseorang anak angkat boleh tidur nyenyak di atas riba ibu angkatnya. Ketika itu tiada gap yang memisahkan betapa mereka cukup banyak berbeza dalam segala hal. Demikianlah hakikat, manusia walaupun berbeza dalam pelbagai keadaan, namun manusia tetap sama dalam cita rasa untuk saling sayang dan saling dihormati. Apa-apapun, hakikatnya tetap sama, walau apa-apa bangsa jua darah manusia tetap merah, justeru dengan perkataan yang lain kita adalah sama.
Berpegang kepada prinsip tersebutlah, saya dan isteri Puan Sirosadah Binti Ismail, dengan rela hati dan cukup berbangga apabila ditawarkan untuk menjadi keluarga angkat kepada seorang anak gadis manis dari Roma Itali, iatu Chantal Viola. Chantal menjadi anak bongsu kesayangan kami dan bermulalah suatu episod baru untuk kami saling mengenali antara satu dengan yang lain. Pelbagai soalan mula meredah masuk dalam kehidupan. Antaranya, berapakah elaun yang dibayar? Di manakah tuntutan harus dibuat dalam urusan yang menyangkut dengan perbelanjaan mengurus anak angkat. Tidak kekokkah apabila ada orang lain yang berbeza agama dan bahasa berada di dalam rumah itu? Begitulah soalan yang terus-menerus menjadi dilema. Namun, di sebalik soalan-soalan itulah yang menjadikan keluarga kita semakin mendapat perhatian
Kehadiran Chantal seolah-olah sesuatu yang dirancang agar nama keluarga kami mula dikenali. Sikap peramah, aktif dan keinginan belajar yang tinggi menyebabkan Chantal berjaya mencipta nama dalam statusnya yang tersendiri. Beliau tidak kekok untuk mencari pengalaman dengan secara sukarela menjadi pembantu kedai di warung roti canai yang kini amat terkenal dengan Warung Roti Canai Celaru. Memang benar penglibatannya di situ tidak memberi apa-apa impak kewangan kepada saya, tetapi tahukah anda betapa ribuan pertanyaan terbit bahawa anak siapakah, si gadis bermata biru yang bekerja di warung roti canai itu? Demikianlah Tuhan mengangkat imej kita tanpa perlu kita membuat sebarang iklan untuk menjadikan diri kita gah.
Ingatlah bahawa dengan sumbangan yang kecil kita tidak menyangka bahawa imbuhan dalam bentuk yang cukup relatif berjaya kita raihkan. Saya dan isteri amat bersyukur kerana hingga kini Chantal tidak henti-henti menghantar mesej dengan menyatakan beliau terlalu rindu akan Malaysia dan teristimewa rindu akan ayah dan bonda. Itulah hubungan kasih sayang yang tidak boleh dibatasi oleh ras dan budaya, segala-galanya terbina di atas paksi kejujuran dan hati yang ikhlas.
Kesimpulannya, jikalau manusia berjaya menghayati falsafah yang diungguli oleh AFS, tiada sebab manusia tidak boleh hidup secara aman di atas muka bumi Tuhan ini. Ingatlah bukan wang ringgit dan material sahaja yang menjadi penyebab kita memperoleh kesenangan, sebaliknya jiwa yang tenteram, kasih sayang, saling hormat dan kemahuan untuk berkorban menjadi seseorang itu tenang jiwanya. Demikianlah AFS sebuah organisasi yang memupuk kesedaran bahawa manusia diikat dalam erti kasih sayang.
Artikel ini ditulis oleh Encik Ishak Md Shah, Bapa Keluarga Angkat AFS. Artikel asal diterbitkan di dalam Budaya Beat edisi January-February 2016.